KUALA TERENGGANU – Ibu kepada tiga cahaya mata yang koma selepas sebulan melahirkan anak ketiga meninggal dunia Khamis lalu.
Marihah Husin, 35, yang juga warga Kemboja menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11 pagi selepas mengalami kesukaran bernafas.
Suaminya, Hussain Muddasar, 34, berkata, dia menguruskan isteri termasuk menukar lampin kira-kira jam 8 pagi sebelum dilihat sukar bernafas kira-kira jam 10 pagi.
“Saya terus menelefon ambulans tetapi dia meninggal dunia sebelum ambulans tiba,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Allahyarham Marihah sebelum ini mengalami koma selama tiga bulan selepas terjatuh di dapur kira-kira jam 3 pagi ketika mahu menyediakan susu untuk anaknya.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Sri Manir, di sini Khamis lalu.
Sementara itu, Hussain yang juga warga Pakistan berkata, dia akan terus berusaha menjaga dan membesarkan ketiga-tiga anaknya sendiri walaupun ada yang meminta kebenaran untuk menjadikan anak bongsunya yang berusia empat bulan sebagai anak angkat.
“Saya ingin membesarkan mereka sendiri. Sebolehnya saya tidak mahu memisahkan mereka bertiga. Biarlah membesar bersama-sama,” katanya.
Hussain turut menyatakan hasrat untuk berpindah berdekatan kediaman saudara isterinya kerana bimbang tiada siapa menjaga anaknya.
Hasil perkongsian hidup Hussain bersama Marihah sejak 15 Mac 2014 dikurniakan dua lagi sahaya mata berusia lima dan tiga tahun.
Leave a Reply