KASIH anak hingga ke hujung nyawa. Itulah kisah seorang budak lelaki berusia lapan tahun yang setia menemani perjalanan terakhir ibunya yang meninggal dunia selepas bertarung nyawa di rumah kecil mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, pagi ini.
Lebih memilukan, sepanjang malam tadi anak kecil itu bukan sahaja menemani ibunya ‘tidur’, malah cuba membantu meringan kesakitan yang dialami wanita berusia 42 tahun itu.
Kisah sedih itu dikongsi Pengurus Eksekutif Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafiuedin Zainal Rasid, menerusi Facebook hari ini, selepas membantu menguruskan jenazah wanita yang juga pesakit kanser hati itu.
Muhammad Rafiuedin berkata, ibu kepada tujuh anak itu tinggal di dalam rumah yang agak daif dan serba kekurangan.
“Anak kecil yang petah berkata-kata itu, memberitahu saya, dia menjaga ibunya sampai wanita itu tertidur. Dia mendengar ibunya menjerit sakit, lalu mengurut tangan dan dada ibunya. Ibunya itu muntah darah dan tertidur semula.
“Allahuakbar. Anak sekecil itu memang tidak mengerti apa-apa. Dia tidak tahu langsung yang ‘tidur’ ibunya itu adalah tidur yang selamanya,” katanya.
Muhammad Rafiuedin berkata, beliau terpaksa menenangkan kanak-kanak malang itu yang menceritakan kisah itu dengan tangisan.
“Anak yang paling kecil itu menangisi pemergian ibunya. Dia peluk ibunya. Sedang di tangannya masih ada mainan kecil, mungkin sekadar untuk mententeramkan diri sendiri.
“Saya pegang bahunya tenangkan dirinya. Kemudian kami mendirikan solat jenazah di situ sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan,” katanya.
Muhammad Rafiuedin berkata, jenazah arwah dimandi dan dikafankan di dalam rumahnya dengan dibantu skuad muslimah serta beberapa orang jiran.
“Saya dimaklumkan kawasan perumahan mereka mempunyai banyak kes positif COVID-19. Disebabkan itu jiran-jiran yang lain tidak keluar rumah demi menjaga keselamatan diri mereka.
“Mujur ada dua orang jiran rumah arwah yang berdekatan yang sudi membantu menguruskan jenazah arwah. Jiran arwah sangat baik. Mereka antara yang sering membantu menghulurkan bantuan keperluan asas buat arwah dan anak-anaknya,” katanya.
Tambah beliau, bekas suami arwah juga hadir membantu dari awal hingga akhir, meskipun terdapat kerisauan mengenai bayaran kos pengurusan jenazah.
“Dia memberitahu tidak mampu membayar kos semua ini kerana baru kematian dua ahli keluarga malah simpanan juga habis. Namun kami faham situasi itu dan semua kos pengurusan jenazah ini termasuk kos tanah kubur saya akan selesaikan,” katanya.
Leave a Reply