KUALA PILAH: Lolanopita Sadi, 47, ibu remaja orang kurang upaya (OKU), Allahyarham Muhammad Firdaus Dullah, yang ditemui dalam keadaan menyedihkan di Nilai pada 2014, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, jam 2.30 petang tadi.
Rakannya, Soriati Parkin, 42, berkata Allahyarham meninggal dunia ketika sedang dirawat di hospital itu kerana menghidap penyakit buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi.
“Arwah kawan baik saya dan dia sebenarnya sudah lama sakit. Dia sepatutnya membuat rawatan dialisis di Hospital Jempol Isnin lalu, namun terpaksa dimasukkan ke HTAN akibat kesihatannya yang semakin merosot.
“Dia sebenarnya sudah dibenarkan keluar wad hari ini, tetapi suami arwah menghubungi saya dan memaklumkan Lolanopita meninggal dunia petang tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Soriati berkata, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahsan, Jempol, jam 8 malam tadi.
Pada 17 November 2014, Lolanopita dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan membiarkan anaknya tinggal tanpa pengawasan dari Januari hingga Jun.
Muhammad Firdaus pada waktu itu berusia 15 tahun ditemui dalam keadaan menyedihkan di rumahnya ketika operasi Jabatan Imigresen pada 21 Jun lalu, dengan keadaan tubuhnya kurus kering, manakala keadaan bilik didiaminya sangat kotor, termasuk terdapat najis yang sudah kering.
Remaja itu yang ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah Seremban meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada tahun 2015 dipercayai akibat diserang sawan ketika makan tengah hari.
Leave a Reply