KUALA LUMPUR – Ibu kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meninggal dunia.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh anak Wan Azizah, Nurul Izzah Anwar dalam kenyataan ringkas di laman Facebook beliau.
Menurut Naib Presiden PKR itu, nenek beliau, Mariah Khamis meninggal dunia hari ini.
“Innalillahiwainnailaihirajiun. Dimaklumkan bonda mama tersayang, Datin Hajah Mariah Khamis telah kembali ke rahmatullah.
“Semoga allahyarhamah nenek ditempatkan dalam kalangan para salihin, diampunkan dosa, dipermudahkan segala urusan, diberikan sepenuh kelapangan kelak dan mendapat husnul khatimah. We love you, grandma. Al-Fatihah,” katanya.
Sementara itu Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jenazah ibu mertuanya akan disolatkan di di Masjid Al Mustaqim, Ampang pagi ini.
“Baru mendapat khabar sedih dari Kuala Lumpur bahawa bonda kepada Dr. Wan Azizah allahyarhamah Mariah binti Khamis telah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi. Solat jenazah dijadualkan pada jam 11.30 pagi ini di Masjid Al Mustaqim, Ampang.
“Saya memohon maaf kepada seluruh pimpinan Harapan Sarawak serta para pendukung kerana terpaksa membatalkan jelajah ke Miri dan Kuching yang dijadualkan hari ini. Kita ketemu lagi di lain waktu, insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette
Leave a Reply