Blog Berita Online

Berita Utama

‘Ini ujian, saya kena kuat untuk anak-anak’ – Bad

Kuala Lumpur: Jenazah Allahyarham Farah Shila Mazlan, isteri kepada pelakon Badrol Shah atau Bad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves, di sini, selepas solat Maghrib, hari ini.

Bad, 39, yang popular menerusi filem Busut Bonang menerusi sesi langsung di Facebook bersyukur apabila pihak hospital dan pengurusan jenazah memberikan kebenaran pengebumian pada hari ini.

“Arwah isteri berada di wad selama 45 hari dan hari ini genap 25 hari ditidurkan dan kini pergi buat selama-lamanya. Kami semua reda. Mudah-mudahan dia ditempatkan bersama para syuhada. Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Bad menerusi hantaran di Instagram berkongsi berita kematian isterinya yang menghembuskan nafas terakhir akibat Covid-19 pada jam 8.15 pagi, hari ini.

“Saya tak tahu nak cakap apa. Saya kena kuat hadapi ujian Allah SWT ini. Anak-anak semua menangis dan sentiasa tengok gambar ibu mereka. Anak paling kecil berusia dua tahun sudah kehilangan ibunya. “Saya ada empat anak dan semuanya perempuan. Insya-Allah saya kuat. Mudah-mudahan Allah akan beri kekuatan. Saya akan pikul tanggungjawab membesarkan anak-anak kami.

“Allah sedang menguji saya adakah saya boleh atau tidak menghadapinya. Saya sudah sedia dengan segala kemungkinan apabila selepas Isyak malam tadi doktor hubungi saya beritahu bila-bila masa saja isteri akan pergi,” katanya.

Allahyarham Farah adalah guru agama di Sekolah Rendah Agama Lembah Keramat. Bad sekeluarga sebelum ini disahkan positif Covid-19 dan sudah selesai menjalani kuarantin di rumah pada 1 Ogos lalu.

Leave a Reply