Politik

Ismail Sabri kunjungi Muhyiddin tiga jam selepas angkat sumpah

KUALA LUMPUR: Kira-kira tiga jam selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkunjung ke kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, di sini pada Sabtu.

Beliau yang menaiki Toyota Vellfire berwarna hitam itu tiba di perkarangan kediaman Ahli Parlimen Pagoh yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pada pukul 5.57 petang.

Tepat pukul 7.20 petang, kenderaan Ahli Parlimen Bera itu dilihat keluar meninggalkan kediaman Muhyiddin.

Difahamkan perjumpaan lebih satu jam itu berkemungkinan melibatkan perbincangan mengenai pembentukan Kabinet yang juga akan melibatkan Ahli Parlimen Bersatu.

Usaha Astro AWANI untuk mendapatkan reaksi Perdana Menteri berhubung perjumpaan itu bagaimanapun tidak berjaya.

Sementara itu, Muhyiddin dalam laman Facebooknya, berkata telah menerima kunjungan Ismail Sabri dan mengucapkan tahniah kepada beliau atas pelantikan sebagai Perdana Menteri.

“Saya memberi sokongan penuh kepada beliau dan insya-Allah akan terus membantu Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyampaikan khidmat yang terbaik kepada rakyat, khususnya dalam tempoh pemulihan negara.

Terdahulu, Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada pukul 2.30 petang.

Ismail Sabri kemudian menandatangani dokumen-dokumen berkaitan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebelum istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Yang turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!