Berita Utama

Isteri Guan Eng, ahli perniagaan ditahan kes banglo RM2.8 juta

GEORGETOWN: Betty Chew Gek Cheng, isteri bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulang Pinang, hari ini.

Perkara itu disahkan peguam Chew, Lee Khai, ketika dihubungi New Straits Times (NST), sebentar tadi.

Terdahulu, Chew yang ditemani Khai dan adik Guan Eng, Lee Hui Ying, dilihat tiba di perkarangan ibu pejabat SPRM negeri, di sini pada jam 10.45 pagi tadi.

“SPRM menahan Betty Chew. Saya menemaninya untuk memberi keterangan. Hui Ying tidak terbabit, sebaliknya beliau membayar ikat jamin Chew kepada SPRM sebanyak RM50,000,” katanya.

Khai bagaimanapun enggan menjawab pertanyaan NST mengenai butiran penyiasatan kes yang akan dikenakan terhadap Chew.

Pagi tadi, suaminya, Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Guan Eng, 59, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, pada Mac 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Guan Eng juga dijadual dituduh di mahkamah Butterworth, Isnin ini bagi kes lain.

Turut ditahan semalam, adalah seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon.

Li Koon, sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada September 2018, berhubung satu pertuduhan rasuah pada 2016.

Guan Eng pada 30 Jun 2016, didakwa menggunakan jawatannya sebagai penjawat awam untuk mendapatkan sesuatu untuk diri sendiri dan isteri.

Beliau dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam, untuk mendapatkan kepentingan kepada diri sendiri dan isterinya dengan meluluskan permohonan oleh Magnificent Emblem Sdn Bhd bagi menukar tanah pertanian menjadi tanah kediaman.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk membeli rumah di Jalan Pinhorn daripada Phang dengan harga RM2.8 juta, yang berada di bawah nilai pasaran hartanah berjumlah RM4.27 juta.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu

Loading...

Leave a Reply