Berita Utama

Isteri hilang ingatan selepas kemalangan, suami mohon doa orang ramai

“MOHON semua doakan isteri saya supaya sihat semula,” demikian luahan Imam Baydowi Sumardi, 32, suami kepada Nur Hana Ismail, 27, yang hilang ingatan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 8 Ogos lalu.

Menurutnya, isterinya berubah sejak kemalangan itu kerana berlaku pendarahan dalam kepala yang menyebabkan tempurung kepala terpaksa dibuka.

“Kami berdua terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan untuk membeli barangan dapur dan makanan dengan menaiki motosikal di Jalan Impian Emas, Johor Bahru.

“Rantai motosikal saya putus dan terbelit pada tayar yang menyebabkan isteri tercampak, manakala saya terseret beberapa meter.

Selepas dirawat di bahagian Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga hari dan bergantung kepada mesin bantuan pernafasan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) selama tiga hari, isteri dibenarkan pulang pada 20 Ogos lalu.,” katanya yang bekerja sebagai penghantar barang.

Isteri tidak seperti dulu lagi

Imam Baydowi berkata, sejak kemalangan itu, dia tidak bekerja kerana perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada isteri.

“Empat anak dan anak saudara yang berusia 6 tahun, ibu mentua berusia 61 yang tinggal bersama, ada tolong menjaga. Manakala adik ipar saya seorang yang bekerja buat masa ini.

“Keadaan isteri memang berubah 100 peratus, tidak sama seperti dahulu. Dia tidak ingat saya, anak kami yang berusia antara setahun hingga 7 tahun dan ibunya sendiri. Malah isteri juga bersifat agresif sehingga ada kala terpaksa mengikat tangannya kerana cuba beberapa kali mencabut tiub di leher dan hidung,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Jalan Makmur 28, Taman Damai Jaya, di Johor Bahru.

Menurut Imam Baydowi, keadaan isterinya hari ini, menunjukkan peningkatan apabila memanggilnya dengan panggilan ‘abah’ selepas subuh tadi.

“Malah, Nur Hana juga menunjukkan respon untuk duduk. Alhamdulillah hari ini ada respon yang bagus daripada isteri. Tetapi dia semakin agresif dengan cuma menggigit diri sendiri dan juga saya.

“Memang tidak sama perwatakan isteri yang dahulunya periang, ceria dan lemah lembut. Sejak kejadian yang menimpa keluarga saya ini menjadi tular, Alhamdulillah bantuan yang diterima sangat membantu keluarga. Segala barang keperluan makanan serta keperluan mencukupi.

“Keluarga saya juga dapat kunjungan daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan jiran yang turut menyumbang katil hospital serta kerusi roda bagi memudahkan pergerakan dan keselesaan isteri saya,” katanya.

Menurutnya, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Dr Chong Fat Full ada melawat bersama NGO serta memberi sumbangan kepada mereka sekeluarga, semalam.

“Alhamdulillah sumbangan mencukupi. Saya harapkan rakyat Malaysia mengirimkan doa supaya isteri saya sembuh sepenuhnya,” katanya.

Loading...

Leave a Reply