Blog Berita Online

Berita Utama

Jangan korban orang tua kerana Aidiladha minggu depan – Dr Hisham

PUTRAJAYA – Rakyat negara ini perlu menjadikan pengalaman Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai tahun ini yang mencetuskan kluster baharu dan kes kematian Covid-19 supaya tidak berulang susulan sambutan Hari Raya Aidiladha, minggu depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, susulan sambutan majlis perayaan yang lalu iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai, aktiviti kunjung -mengunjung di kawasan kejiranan atau kampung, perjumpaan antara ahli keluarga dari rumah-rumah yang berlainan serta majlis pengebumian wujudnya kluster komuniti.

Katanya, beberapa kluster komuniti ini turut melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan berkenaan.

“Bermula 1 Jun lalu, iaitu sejak permulaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sehingga semalam, sebanyak 267 kluster komuniti dengan jumlah 17,106 kes positif Covid-19 telah dilaporkan.

“Kes-kes tersebut dikesan daripada sejumlah 72,755 individu yang disaring (kadar positiviti 23.5 peratus) melalui Active Case Detection (ACD) yang dijalankan di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) secara berterusan.

Daripada jumlah 17,106 kes tersebut, 105 kematian telah dilaporkan sehingga kini dan 42 kes sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, pihaknya juga khuatir berkaitan 21 kluster yang didapati tercetus akibat aktiviti merentas negeri.

Tahun ini katanya, dalam tempoh 1 Jun sehingga semalam sahaja, sebanyak 1,010 kes positif telah dilaporkan dalam 21 kluster ini, iaitu daripada 5,681 individu yang disaring (kadar positiviti 17.8 peratus).

“Kluster-kluster ini didapati melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan sambutan perayaan, mengunjungi ahli keluarga, menghadiri majlis pengebumian serta atas urusan kerja.

“Negeri-negeri yang melaporkan jumlah kluster rentas negeri tertinggi sejak 1 Jun 2021 adalah Perak dengan lapan kluster (38.1 peratus), Terengganu dengan lima kluster (23.8 peratus) serta Kelantan dengan tiga kluster (14.3 peratus),” katanya.

Beliau berkata, kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit diabetes atau kanser merupakan kumpulan yang sangat mudah terkesan dengan jangkitan Covid-19.

“Semua pihak harus sedar bahawa sistem pertahanan tubuh mereka adalah lebih rendah dan membuatkan mereka mudah dijangkiti Covid-19.

“Tahap kesihatan mereka juga mudah merosot apabila dijangkiti Covid-19, sehingga ada yang boleh membawa kepada kematian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply