Berita Utama

Usir Md Rayhan daripada Malaysia tindakan terburu-buru, kata Suhakam

SHAH ALAM – Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) mendakwa tindakan mengusir keluar dan menyenarai hitam lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Md Rayhan Kabir daripada memasuki Malaysia buat selama-lamanya sebagai tindakan terburu-buru.

Pesuruhjayanya, Jerald Joseph berkata, tindakan sebegitu mungkin dilihat wajar dari segi perundangan negara serta bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia tetapi ia bukanlah penyelesaian kepada isu yang berlaku.

“Saya melihat pada ketika ini, sebaiknya biarkan polis menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk membuktikan kesahihan pendedahan Md Rayhan menerusi dokumentari yang disiarkan Al Jazeera iaitu tentang diskriminasi layanan pihak berkuasa Malaysia terhadap warga asing sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras Covid-19 di negara ini.

“Setelah polis selesai dengan siasatan mereka, barulah ditentukan bentuk tindakan untuk Md Rayhan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Jerald berkata, sekiranya tindakan pengusiran dan senarai hitam itu diteruskan, Suhakam melihat ia akan memberi impak kepada imej Malaysia dan akan menakut-nakutkan warga asing lain yang tinggal dan bekerja secara sah di negara ini.

“Mereka akan beranggapan jika selepas ini berlaku perkara tidak betul yang mungkin dilakukan pihak berkuasa Malaysia ke atas mereka, mereka tidak boleh bercakap benar atau diberi ruang untuk membela diri.

“Jadi dalam situasi sekarang, saya menyarankan agar semua pihak berkuasa di negara ini untuk melihat sebarang kritikan yang dibuat terhadap mereka atau negara bukan sekadar kritikan tetapi sebagai maklum balas untuk memperbaiki perkhidmatan. Ambil secara positif,” katanya.

‘Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan’ – Md Rayhan

Saya tidak menipu mahupun melakukan kesalahan jenayah sewaktu ditemubual Al Jazeera berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia baru-baru ini, kata Md Rayhan Kabir yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia semalam.

Menurut laporan akhbar The Daily Star di Bangladesh, lelaki warga Bangladesh berusia 25 tahun itu memberitahu dia hanya bercakap mengenai diskriminasi terhadap PATI menerusi program terbitan stesen televisyen antarabangsa itu.

“Saya hanya mahu maruah negara dan migran seperti saya terjamin. Saya yakin semua pendatang dan Bangladesh akan bersama saya dalam isu ini,” katanya dipetik sebagai berkata.

Semalam, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud mengesahkan penahanan Md Rayhan yang diburu pihaknya sebelum ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Beliau turut mengesahkan bahawa Md Rayhan akan diusir keluar dan disenaraihitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Terdahulu, Md Rayhan menjadi buruan selepas membuat dakwaan tidak berasas kononnya wujud diskriminasi kerajaan Malaysia dalam mengendalikan kes koronavirus (Covid-19) melibatkan warga asing.

Dakwaan itu diterbitkan menerusi sebuah dokumentari oleh Al Jazeera pada 3 Julai lalu dan susulan itu polis turut menyiasat mereka yang terlibat dalam penghasilan dan penyiaran dokumentari tersebut.

Loading...

1 Comment

  1. Rakyat Malaysia

    Kenapa nak pertahankan orang yang dah menghina dan memfitnah kerajaan sendiri?
    Kenapa nak pertahankan orang yang benci dengan tempat yang dia tinggal sekarang?
    Kenapa sibuk nak bela orang asing sedangkan kes aruah Adib semua NGO berkunci mulut.?
    NGO jenis apa ni?

Leave a Reply