KANGAR – Jenazah Safsufarnisya Salleh yang maut ditembak suaminya di rumah keluarga di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat semalam, selamat dikebumikan malam tadi.
Jenazah suri rumah yang hamil lima bulan itu disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Putra, Simpang Empat, di sini.
Terdahulu, jenazah dibawa pulang ke rumah selepas selesai bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 6 petang, sebelum disembahyangkan dengan diimamkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’ele Eizan yang juga bapa saudara Safsufarnisya.
Kira-kira 200 orang terdiri daripada ibu bapa, ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan arwah menghadiri pengebumian itu.
Safsufarnisya, 26, meninggal dunia selepas ditembak suaminya yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal kira-kira 6 pagi semalam.
Suspek kini direman tujuh hari hingga 12 Mac untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
‘Saya maafkan menantu’ – bapa Safsufarnisya
“Saya maafkan apa yang dia (menantu) lakukan dan terima ujian ini seadanya kerana saya sudah menganggapnya macam anak saya sendiri.”
Luahan ikhlas Salleh Eizan, 63, itu buat menantunya, seorang lans koperal polis yang menembak anaknya, Safsufarnisya, 26, dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat semalam.
Salleh berkata, walaupun pada mulanya agak sukar untuk dia menerima apa yang berlaku terutama apabila nyawa anaknya hilang, dia akhirnya pasrah dan reda dengan ketentuan Ilahi.
“Saya juga sudah menganggap menantu (suspek) sebagai anak saya sendiri jadi segala apa yang berlaku itu, saya maafkan,” katanya hari ini.
Sementara itu, isteri Salleh, Che Mas Taha, 63, berkata, mereka sekeluarga memasuki bilik diduduki arwah dan terkejut apabila menemui beberapa pakaian bayi tersimpan kemas dalam plastik di dalam almari.
“Adik (Safsufarnisya) dengan suaminya, rupa-rupanya sudah menyediakan kelengkapan menyambut kelahiran bayi sulung mereka tanpa pengetahuan kami.
“Memang kami tahu Adik sedang hamil tetapi kami tidak pula tahu bila mereka beli baju dan seluar bayi ini.
“Apabila melihat baju dan seluar bayi, kami lebih sedih dan sayu teringatkan Adik,” katanya.
Kakak Safsufarnisya, Safsuzafira, 37, pula berkata, adik bongsunya itu menulis dengan gincu ‘Welcome Junior Ijat’ pada cermin meja solek di bilik tidurnya, sebagai meraikan kehamilan sulung.
Leave a Reply