Berita Utama

JPJ ambil tindakan terhadap pemilik kereta buang sampah ke sungai

KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan sudah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik kenderaan yang tular susulan membuang sampah ke dalam sungai semalam.

JPJ menerusi kenyataan media berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis temu siasat mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik kenderaan berkenaan.

“Membuang sampah dari kenderaan bermotor adalah satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Kaedah 52 Kaedah-Kaedah Lalu-Lintas Jalan 1959.

“Jika disabitkan kesalahan, hukuman boleh dikenakan terhadap pelaku mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

“Jika sabitan kesalahan kedua boleh didenda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjara tidak melebihi dua bulan penjara atau kedua-duanya,” katanya.

Pada masa sama, JPJ turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menjadikan amalan membuang sampah dari kenderaan sebagai kebiasaan kerana ia boleh mencemarkan alam sekitar serta boleh membahayakan kepada pengguna jalan raya lain yang menggunakan jalan berkenaan.

Terdahulu, tular video sebuah kereta yang berhenti di jambatan sebelum seorang wanita membuang sampah ke dalam sungai menerusi tingkap.

Video berdurasi 20 saat itu mendapat kecaman daripada netizen yang mengatakan individu berkenaan tiada kesedaran sivik sehingga sanggup membuang sampah secara terbuka ke dalam sungai.

Namun, terdapat page Facebook yang memaklumkan wanita berkenaan memohon maaf atas tindakannya.

Wanita berkenaan menjelaskan dia baru balik berubat dari Kuala Krai dan diminta oleh perawat tradisional supaya membuang barang saka ke dalam arus sungai yang mengalir.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!