Berita Utama

Juruteknik maut dihempap paip besi lebih 2 tan

Chukai: Seorang juruteknik maut selepas dihempap sebatang paip saluran gas dianggarkan seberat lebih dua tan di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong di sini hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa, Ahmad Shahir Hasauddin, 29, sedang melakukan kerja-kerja mengecat paip yang baharu dikimpal di sebuah bengkel fabrikasi saluran paip gas di kawasan berkenaan.

Insiden malang itu berlaku apabila paip yang diletakkan di atas sebuah kayu dikatakan secara tiba-tiba menggelungsur ke arah mangsa yang sedang mencangkung ketika melakukan kerja mengecat.

Kejadian itu disedari beberapa pekerja yang lain yang kemudiannya menelefon pihak bomba memaklumkan kejadian berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.38 pagi sebelum dua jentera daripada BBP Chukai dan BBP Kijal dengan kekuatan 15 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati terdapat seorang lelaki yang tersepit di kepala akibat dihempap paip besi.

“Kita menggunakan jentera angkat susun (forklift) untuk mengangkat besi paip berkenaan dan mangsa berjaya dikeluarkan 10 minit kemudian sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Katanya, kes diklasifasikan sebagai mati mengejut.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!