CYBERJAYA – Seorang jurutera teknologi maklumat maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas di Jalan Persiaran Apec, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang di itu, mangsa dikenali sebagai Nurul Sahira Kamaruzzaman, 25, disahkan maut di lokasi akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Dash dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah dari Puchong, Selangor.
Beliau berkata, motosikal ditunggangi mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas mengakibatkan wanita tersebut kemudian tercampak di atas jalan.
“Mayat mangsa telah dibawa Hospital Serdang untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, rakan mangsa yang dikenali sebagai Nabilah Hassan meluahkan rasa pilu di atas pemergian Nurul Sahira.
Nabilah berkata, walaupun Nurul Sahira seorang yang pendiam, namun arwah sering melakukan kerja amal secara diam-diam.
“Dia suka buat kerja dan beramal senyap senyap. Ada satu hari, aku tengok dia beli byk benda. Rupa rupanya dia nak hadiahkan untuk anak usrah online yg dia tajmik masa covid. Comel sangat. Bila kantoi, dia dok termalu malu,” ujarnya.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah..
Leave a Reply