Blog Berita Online

Berita Utama

Kajian USM, Universiti Yale dapati ketum berkesan sebagai ubat tahan sakit

GEORGE TOWN: Hasil kajian yang dijalankan sekumpulan saintis menerusi kolaborasi antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Universiti Yale Amerika Syarikat (AS) mendapati, ketum berkesan dalam meningkatkan ketahanan terhadap rasa sakit.

USM menerusi satu kenyataan menyatakan, kajian tersebut diketuai Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan (CDR) USM Profesor Dr. Vicknasingam dan Profesor Dr. Marek C. Chawarski dari Yale School of Medicine.

Menurut kenyataan itu, kajian tersebut dijalankan secara rawak, dubel-buta (double-blind) dan plasebo-terkawal yang penting, melibatkan 26 sukarelawan.

“Namun begitu, kajian yang lebih mendalam berkaitan kemampuan ketum menahan kesakitan serta profil keselamatannya, masih diperlukan,” tambah kenyataan itu.

Penemuan tersebut telah diterbitkan dalam ‘Yale Journal of Biology and Medicine’ (YJBM) keluaran Jun 2020, yang memaparkan bukti yang telah dinilai secara objektif dan telah dicapai, berikutan hasil kajian ke atas subjek manusia buat pertama kalinya.

“Ia sekali gus memberikan pengesahan atau sokongan awal berkaitan kemampuan ketum menahan kesakitan, yang sebelum ini hanya dilaporkan secara anekdotal, berdasarkan pengalaman sendiri melalui kajian secara pemerhatian,” katanya.

Selain menerima peruntukan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah Program Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE), bagi melaksanakan penyelidikan berkaitan ketum, National Institute of Health (NIH) Amerika Syarikat, juga amat berminat dalam memberi sokongan terhadap penyelidikan berkaitan ketum dan sehingga kini telah memberi peruntukan kepada universiti-universiti di negara itu, untuk melaksanakan pelbagai kajian menyeluruh.

— BERNAMA

Leave a Reply