KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan terus berpolitik demi memastikan suara rakyat terus didengari meskipun ada desakan supaya sebarang bentuk politik dihentikan buat masa ini.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Seri Salahuddin Ayub mendakwa, sesetengah pihak yang meminta mereka berhenti berpolitik pun sebenarnya tidak pernah berhenti berpolitik.
“Saya rasa orang politik ini, kita berpolitik. Kalau orang politik tak boleh main politik, kita nak main apa, main Mak Yong, main congkak? Jadi saya rasa orang politik ini, kita berpolitik.
“Kita harus melihat isu-isu negara. Mereka katakan kita berpolitik, jadi adakah mereka tidak berpolitik? Meluluskan, sebagai contoh, projek-projek yang tidak relevan buat masa ini, pembinaan tiga dewan dengan harga RM35 juta, nak dibiarkan begitu?
“Nak suruh kami jangan berpolitik, tidak! Kami berpolitik untuk rakyat, kita berpolitik untuk semak dan imbang, untuk bercakap dalam sidang Parlimen,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Selasa.
Tambahnya, pembangkang akan terus mendesak supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.
Menurutnya, sebagai ahli Parlimen, mereka mempunyai hak untuk tidak bersetuju dengan Proklamasi Darurat dan ia masih dalam kerangka Perlembagaan di mana mereka berhak untuk menyuarakan pandangan.
Mengambil contoh situasi di England, ada ahli Parlimen dan parti politik mendesak Ratu Elizabeth campur tangan dalam isu Brexit dan kadangkala Ratu turut memberikan pandangan.
“Budaya itu tidak dianggap menderhaka. Perkataan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong itu era lama. Bukan kita mahu mengajak rakyat berarak ke pintu istana tapi yang kita mahu adalah persidangan Parlimen diadakan.
“Ia perlu untuk kita adakan proses semak dan imbang. Kita tak mahu terperangkap dalam permainan politik satu atau dua orang yang ‘bergayut’ di pagar istana.
“Sebab itu, apa yang diusulkan Anwar (Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan kami sendiri, ia adalah permintaan yang masih lagi kita bermain dalam kerangka Perlembagaan,” ujarnya.
Tambahnya, tiada cacat cela atau dosa untuk mereka terus menyuarakan pandangan sebegitu.
Leave a Reply