Blog Berita Online

Berita Utama

Kalimah Allah hanya untuk umat Islam – Sultan Selangor

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menegaskan penggunaan kalimah dalam Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk sekalipun yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali di Selangor.

Demikian titah baginda merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes Jill Ireland binti Lawrence Bill melawan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia baru-baru ini.

“Beta mengulangi pendirian bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat- sifat kesempurnaan.

“Kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam,” demikian titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Selangor tadi.

Bagaimanapun baginda tiada halangan sekiranya perkataan ‘Tuhan’ digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan ‘God’.

“Penegasan Beta ini juga selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014 dan fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Februari 2010 yang menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain.

“Adalah menjadi kewajipan bagi orang Islam untuk penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penyalahgunaan atau penghinaan terhadap kalimah Allah itu.

“Beta menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab semua umat Islam terutamanya umat Islam di Negeri Selangor untuk menjaga kesucian kalimah Allah pada setiap masa dan di dalam apa jua keadaan sekalipun,” titahnya.

Sultan Sharafuddin juga menitahkan rakyat baginda yang bukan beragama Islam di Negeri Selangor sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah sepertimana yang diperuntukkan di bawah ikut Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang diwartakan pada 7 Julai 1988.

“Ini termasuklah larangan penggunaan beberapa perkataan lain yang termaktub di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam ini bagi tujuan komersial dan bagi tujuan menamakan tempat-tempat perniagaan atau bangunan.

“Sebagai Ketua Agama Islam Selangor, Beta tetap akan mempertahankan kesucian kalimah Allah ini kerana memelihara kesucian kalimah Allah ini adalah menjadi tuntutan agama dan tanggungjawab Beta seperti mana Firman Alah S.W.T di dalam ayat 65 surah at-Taubah yang melarang daripada mempermainkan dan mempersendakan kalimah Allah: Yang bermaksud: “Katakanlah, patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”

“Apa gunanya Beta menjadi ketua Agama Islam Selangor jika Beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dan kesucian Agama Islam dari dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri,” titahnya.

Baginda juga sentiasa menekankan agar rakyat di Selangor dapat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba untuk menyentuh sensitiviti agama masing-masing yang boleh merosakkan perpaduan kaum di Selangor ini.

“Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka maka Beta juga menggesa agar penganut agama selain dari Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umet Islam.

“Beta juga berkesempatan membaca titah yang dizahirkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan menyokong penuh titah Sultan Johor yang meminta kerajaan Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu,” titahnya.

Leave a Reply