Blog Berita Online

Berita Utama

Kanak-kanak 15 bulan maut terjatuh motosikal mainan

Alor Setar: “Penyeri di rumah kami sudah tiada dan saya reda dengan pemergian anak tunggal kami walaupun sebelum ini dia aktif, malah tidak menyalahkan sesiapa dan menganggap ia suratan takdir.”

Begitu kata Mohd Nasri Mohd Yusoff, 26, selepas anaknya Hayfa Afrina Mohd Nasri, 15 bulan meninggal dunia kelmarin selepas tiga hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dipercayai terjatuh ketika menunggang motosikal mainan di rumah pengasuhnya di Padang Serai, Kulim, Khamis lalu.

Mohd Nasri yang juga anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim berkata, ketika itu, dia yang bekerja syif malam berada di rumah di mana kediaman pengasuhnya hanya terletak beberapa meter dari kawasan rumahnya.

Katanya, anak tunggal itu dihantar ke rumah pengasuh sejak dua minggu lalu apabila isterinya, Farah Amalina Abdul Razak, 26, mula bekerja di sebuah kilang elektronik di Kulim.

“Sebaik melihat anak tidak sedarkan diri, saya terus menghantarnya ke Hospital Kulim, walaupun doktor mengesahkan tiada sebarang kecederaan, tetapi dia perlu dipindahkan ke HSB untuk rawatan lanjut.

“Namun sebaik tiba di sini, anak saya dimasukkan ke PICU sejak Jumaat lalu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya jam 3.40 petang kelmarin,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HSB, semalam.

Turut menziarahi jenazah, Ketua Zon 1 Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Abdul Jalil Ishak dan pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Menurutnya, sebelum ini, memang dia ada melihat luka di dahi kanannya, namun anak masih aktif dan minum susu seperti biasa malah pengasuhnya ada memberitahu yang arwah terjatuh ketika menunggang motosikal mainan di rumahnya Khamis lalu.

Mohd Nasri berkata, setiap hari dia dan isterinya menghantar anak mereka di rumah pengasuh jam 6.30 pagi dan masing-masing keluar bekerja sebelum menjemput bayi itu pada sebelah petang.

Katanya, dalam kejadian ini, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana perkara sudah berlaku dan menganggapnya sebagai takdir Allah.

Jenazah dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Naya, Arau, Perlis sebaik urusan bedah siasat selesai dilakukan semalam.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan dan menahan pengasuh terbabit bagi membantu siasatan.

Leave a Reply