MOSCOW: Seorang kanak-kanak di Rusia mendakwa berasal dari planet Marikh sebelum dilahirkan semula ke bumi untuk menyelamatkan manusia.
Lapor The Sun, Boriska Kipriyanovich mendakwa pernah menghuni di planet Marikh sebelum memulakan kehidupan baharunya sebagai manusia di bumi.
Boriska membuat dakwaan berkenaan dalam satu video yang menjadi tular pada tahun 2017.
Dilaporkan, ketika itu, Boriska hanya berusia 11 tahun.
Menerusi video tersebut, Boriska memberi amaran kepada penduduk di bumi kononnya kepupusan dan konflik berpanjangan akan berlaku.
Boriska turut mendakwa spesies makhluk musnah akibat konflik nuklear yang berlaku ribuan tahun lalu dan dia bimbang bumi akan mengalami nasib yang sama.
Boriska dari Volgograd mendakwa dia dihantar ke bumi dalam misi menyelamatkan manusia.
Dia menerusi video itu juga mendakwa merupakan juruterbang yang mengembara ke bumi selepas planetnya musnah akibat peperangan antara dua makhluk.
“Meskipun planet itu musnah, masih ada yang terselamat selepas membina tempat perlindungan dan menghasilkan senjata baharu,” katanya.
Dia mendakwa dilahirkan semula di bumi bersama individu lain yang terselamat dalam peperangan itu, dengan tujuan menyelamatkan manusia.
Sementara itu, ibu kepada Boriska berkata, dia mengetahui anak lelakinya merupakan bayi luar biasa sejurus selepas dilahirkan.
Malah, wanita itu mendakwa anaknya mampu mengangkat kepala sendiri ketika hanya berusia dua minggu selepas dilahirkan.
Sekumpulan doktor pula mendakwa Boriska sudah mula bercakap beberapa bulan selepas dilahirkan serta mampu membaca dan melukis ketika berusia satu tahun setengah. – AGENSI
Leave a Reply