Blog Berita Online

Berita Utama

Kanak-kanak lemas kereta terbabas ke dalam tali air

PASIR SALAK: Kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri terperangkap di dalam kereta ibunya yang terbabas ke dalam tali air di Kilometer 32 Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap, berhampiran Kampung Bukit Chawi di sini, hari ini, ditemukan lemas.

Mayat Muhamad Harith Sulayman Mohd Hanis, 5, dijumpai anggota pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 8.15 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Barudin Wariso, berkata pasukan SAR mengesan kereta terbabit dalam keadaan terbalik kira-kira 80 meter dari lokasi kejadian pada jam 7.50 malam.

Beliau berkata, anggota kemudian menemui mangsa terperangkap di dalam kereta sebelum mengeluarkan mayatnya.

“Usaha mengangkat dan membawa keluar kereta terbabit mengambil masa kira-kira 30 minit,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, malam ini.

Terdahulu dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, Barudin berkata, mangsa bersama adik perempuannya berusia empat tahun menaiki kereta jenis Honda City yang dipandu ibu mereka.

Beliau berkata, tiga beranak itu dalam perjalanan dari Malim Nawar ke Kampung Ulu Dedap, Jejawi, untuk mengambil anak bongsu wanita terbabit di rumah pengasuh.

“Bagaimanapun, kereta dipandu wanita berusia 30 tahun itu dipercayai gagal dikawal setiba di selekoh yang ada takungan air lalu terbabas ke kanan jalan.

“Kereta berkenaan kemudian melanggar besi kunci air sebelum terjunam ke dalam tali air. Jarak antara jalan dengan tali air berkenaan adalah kira-kira enam meter,” katanya.

Barudin berkata, wanita itu kemudian dapat membuka cermin kereta dan menarik anak perempuannya sebelum mereka diselamatkan orang awam yang melalui kawasan berkenaan.

Namun, beliau berkata, wanita itu tidak sempat menarik keluar anak lelakinya yang berada di tempat duduk belakang berikutan kereta semakin tenggelam dalam situasi hujan lebat dan paras air tinggi.

Sebaik saja maklumat diterima berhubung insiden itu, katanya, operasi SAR diaktifkan membabitkan polis dari Balai Polis Kampung Gajah serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah dengan turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Teluk Intan.

Beliau berkata, wanita itu dan anak perempuannya dilaporkan tidak cedera, manakala mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk proses selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Leave a Reply