Blog Berita Online

Berita Utama

Kanak-kanak maut dilanggar motosikal ketika beraya

Alor Setar: Keseronokan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun menyambut hari pertama Aidilfitri berakhir tragedi apabila dia maut dilanggar motosikal di Batu 9, Kota Sarang Semut, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Muhammad Shafiq Haikal Sahfiee, 9, murid Sekolah Kebangsaan Hj Hassan Hitam, Simpang Empat dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pejabat pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan pada 1.30 tengah hari berhubung kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dengan pejalan kaki.

“Hasil siasatan awal mendapati motosikal Yamaha Y15 yang ditunggangi lelaki berusia 22 tahun dari arah Kota Sarang Semut ke arah Simpang Empat manakala kanak-kanak itu sedang berjalan kaki dari kanan ke kiri jalan.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika penunggang motosikal sedang bergerak lurus sebelum mangsa yang ketika itu berjalan kaki melintas jalan secara tiba-tiba dari kanan ke kiri jalan.

“Akibat daripada itu, penunggang motosikal itu tidak sempat mengelak dan berlaku perlanggaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal cedera ringan dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan.

Beliau berkata, jasad Muhammad Shafiq Haikal dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Leave a Reply