PERJALANAN dua beradik keluar ke kedai berakhir tragedi apabila kedua-dua mereka termasuk seorang kanak-kanak berusia 4 tahun maut selepas motosikal ditunggangi terbabas di Jalan Air Tanai, Alor Gajah, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, mangsa Zahrul Fitri Amer, 16, dan adiknya, Afiq Wafiy meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari Alor Gajah menghala ke Ayer Paabas.
“Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki dua beradik itu telah terbabas sendiri dan melanggar tembok batu di sebelah kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu, mereka mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Arshad memberitahu, hasil soal siasat bapa mangsa memaklumkan kedua-dua anaknya itu dalam perjalanan ke kedai.
“Pemeriksaan lanjut pegawai penyiasat di lokasi turut mendapati motosikal dinaiki mangsa mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan dipercayai akibat rempuhan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE
Leave a Reply