EMPAT beranak maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dengan treler di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru-Seremban dekat Kampung Melayu Raya, Segamat, hari ini.
Pemandu Honda Stream, Nizam Othman, 51, maut bersama isterinya, Nur Fazlin Jamalludin, 37, dan dua anak mereka, Nor Naqia Nizam, 7, dan Mohd Niaz Nizam, 2.
Manakala, seorang lagi anak mereka yang turut berada dalam kenderaan itu, Mohd Naqib Nizam, 9, cedera, namun selamat.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat, berkata, kemalangan yang berlaku pada 1.40 tengah hari itu membabitkan treler tanpa muatan dengan MPV dinaiki lima beranak.
“Dalam kemalangan itu, empat daripada keluarga itu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang kanak-kanak tercampak keluar dari kenderaan dan terselamat.
“Pemandu treler cedera dan dibawa ke Hospital Segamat untuk rawatan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati treler dari arah Segamat menghala ke Labis, manakala MPV mangsa dari arah Labis menghala ke Segamat.
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, hujan lebat dan treler dipercayai hilang kawalan serta terbabas sebelum melanggar bahagian hadapan MPV mangsa,” katanya.
Sementara itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat dengan kekuatan lima anggota bergegas ke lokasi kemalangan selepas menerima panggilan kecemasan.
Anggota bomba berjaya mengeluarkan semua mangsa yang tersepit sebelum menamatkan operasi pada 2.50 petang.
Leave a Reply