TUARAN – Tiga maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Simpang Marabahai Spurs, Jalan Berungis – Tenghilan, di sini pagi tadi.
Dalam nahas jam 8 pagi, penunggang motosikal Yamaha Ego S, Deny Lee Sapiun, 25 dan pembonceng, IL Yasa Samsudin, 35, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang anggota polis yang juga pemandu kereta Perodua Kancil, Shamsully Adly, 45, turut maut di tempat kejadian manakala pemandu dan tujuh penumpang trak tentera tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, berkata siasatan awal mendapati trak dipandu dari arah Tamparuli menghala ke Tenghilan.
Sebaik sampai di lokasi, sebuah motosikal dinaiki dua mangsa tiba-tiba keluar dari simpang Jalan Marabahai Spurs menyebabkan pemandu trak berusia 24 tahun tidak sempat mengelak lalu bertembung motosikal terbabit.
“Akibat pertembungan itu, penunggang dan pembonceng motosikal terseret ke laluan susur sebelum trak hilang kawalan sehingga masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Kancil dari arah Kota Belud,” katanya.
Difahamkan, mangsa anggota polis, Shamsully Adly dilaporkan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bolong, Tuaran selepas tamat masa bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.08 pagi dan seramai lapan anggota dikerah ke lokasi.
Leave a Reply