Blog Berita Online

Hiburan

Kepala terkehel ditarik isteri ketika bersalin

KUALA LUMPUR – Di sebalik kegembiraan penyanyi Tajul Arif, 23, menimang cahaya maya kedua, kepalanya terkehel akibat ditarik isteri, Nurul Shamieza Eddie, 25, ketika melahirkan anaknya di sebuah pusat perubatan di Kajang, Selangor, semalam.

Tajul berkata, ia berlaku ketika isterinya mengalami kontraksi agak kuat ketika dalam proses bersalin.

“Kepala saya terkehel disebabkan isteri tarik ketika kontraksi tengah kuat. Bagaimanapun, tiada apa yang perlu dirisaukan, semuanya selamat.

“Saya hanya mengalami luka kecil sahaja,” katanya sambil ketawa.

Tajul atau nama sebenarnya, Tajul Ariff Noor Md Shari berkata, dia bersyukur dikurniakan bayi lelaki kerana sememangnya sudah menginginkan sepasang cahaya mata.

“Alhamdulillah, isteri selamat melahirkan anak lelaki seberat tiga kilogram secara normal pada jam 6 petang semalam. Keadaan isteri dan anak dalam keadaan baik, tetapi masih belum keluar hospital.

“Jujurnya, saya dan isteri memang teringin sangat mahu anak lelaki. Syukur doa kami dimakbulkan dan isteri juga tidak sakit lama,” katanya kepada BH Online.

Katanya, jika diikutkan, isterinya dijangka melahirkan anak kedua pada pertengahan bulan ini. Bagaimanapun, ia lebih cepat daripada jangkaan.

Tajul berkata, dia akan berkongsi nama anak keduanya apabila tiba masa nanti. Wajah anak juga belum didedahkan untuk tatapan umum

“Soal nama anak, insya-Allah kami akan mengumumkannya kelak,” katanya.

Melihat keadaan semasa, Tajul berkata, dia tidak menggalakkan ahli keluarga dan rakan datang melawat anaknya.

Tajul yang mendirikan rumah tangga dengan Nurul Syamieza pada 10 Disember 2017, dikurniakan cahaya mata Adriana Carissa kini berusia setahun lapan bulan.

Leave a Reply