Politik

Kerajaan baharu tidak stabil jika Ismail Sabri jadi PM

KUALA LUMPUR – Meskipun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah dilantik menjadi Perdana Menteri baharu, beliau tetap mempunyai majoriti tipis iaitu 114 sokongan ahli Parlimen.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, jumlah tersebut masih boleh menyebabkan kerajaan tumbang jika bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas pimpinan PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menarik sokongan terhadap Ismail Sabri.

“Keadaan 114 sokongan itu masih menunjukkan bahawa kerajaan tidak stabil dan bergantung kepada Muhyiddin dan Azmin. Sejauh mana dia mampu kekal dan tidak jatuh, itu bergantung kepada kebijaksanaan dia sendiri.

“Kita sebenarnya mengharapkan penyelesaian yang lebih tuntas tetapi kalau ikutkan siapa dapat majoriti, dialah yang dilantik sebagai Perdana Menteri. Dulu Perikatan Nasional (PN) dibantu Barisan Nasional (BN), sekarang BN dibantu PN.

“Jangan jadi kerajaan gagal 1.0 diganti dengan kerajaan gagal 2.0, sudahlah kita harap kebijaksanaan Ismail Sabri dalam hal ini menggunakan pendekatan yang berbeza,” ujarnya lagi.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memperkenan pelantikan Naib Presiden UMNO ITU sebagai Perdana Menteri baharu menggantikan Muhyiddin yang melepaskan jawatannya, Isnin lalu. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!