Berita Utama

Kerajaan benarkan majlis sosial termasuk perkahwinan, ibadah korban

Kerajaan membenarkan penganjuran semua majlis sosial termasuk majlis perkahwinan mulai 1 Julai ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Dalam sidang media hari ini, Ismail Sabri turut memaklumkan ibadah korban juga dibenarkan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha penghujung bulan depan.

“Saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk memberikan kebenaran penganjuran majlis sosial bermula 1 Julai 2020.

“Majlis sosial yang dibenarkan merangkumi kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis-majlis lain yang berkaitan dengan agama seperti majlis tahlil, aqiqah dan doa selamat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata majlis sambutan ulangtahun perkahwinan, hari lahir dan sebagainya turut dibenarkan.

Bagaimanapun majlis sosial yang dianjurkan perlu dihadkan antara tiga hingga lima jam dengan kapasiti tidak melebihi 250 orang.

“Kapasiti kehadiran masih kita kekalkan iaitu tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa dan tertakluk kepada saiz ruang tempat itu diadakan.

“Bufet tidak dibenarkan, bagaimanapun kita boleh melonggarkan walaupun ada bufet tetapi dihidangkan oleh pramusaji,” katanya pada sidang media perkembangan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan adalah penganjur perlu menyediakan kaunter saringan kesihatan di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan tetamu, pemakaian pelitup separuh muka serta merekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual.

Sementara itu, beliau berkata aktiviti ibadah korban dibenarkan di semua masjid, surau dan kawasan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan.

Manakala ibadah korban di negeri-negeri lain pula adalah tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyediakan SOP Ibadah Korban yang boleh dijadikan rujukan bagi pelaksanaan di negeri-negeri lain.

“Jika negeri yang lain juga membenarkan ibadah korban dilaksanakan secara terbuka seperti biasa, maka SOP tersebut boleh dijadikan rujukan oleh negeri-negeri lain selain daripada Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata selain masjid, surau dan kawawan yang telah mendapat kelulusan pihak berkuasa agama negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sebanyak 28 Rumah Sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta 31 Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan oleh DVS dibenarkan untuk menjalankan penyembelihan.

Penganjur juga perlu melaporkan aktiviti ibadah korban yang akan dijalankan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pematuhan kuarantin di rumah di kalangan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, Ismail berkata kerajaan tidak menerima laporan negatif mengenai mereka setakat ini.

“Saya difahamkan, pihak kementerian kesihatan, pihak polis dan sebagainya membuat lawatan berkala di rumah-rumah rakyat kita yang buat kuarantin di rumah, kadangkala membuat pemeriksaan mengejut untuk pastikan pematuhan tersebut.

“Sampai hari ni tiada lagi laporan mengenai kegagalan mereka mematuhui SOP ditetapkan,” katanya.

Ismail berkata seramai 5,093 rakyat Malaysia di luar negara pulang ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara 10 dan 23 Jun lalu.

Daripada jumlah tersebut, seramai 5,067 orang diarah menjalani kuarantin di rumah sementara 26 lagi dibawa ke hospital.

Beliau berkata daripada 557 rakyat Malaysia yang tiba melalui KLIA semalam, tujuh dibawa ke hospital setelah diuji positif Covid-19.

Loading...

Leave a Reply