Blog Berita Online

Berita Utama

Kerajaan Sabah benarkan pekerja China masuk ke negeri ini

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah membenarkan semua perjalanan masuk ke Sabah sama ada melalui udara, darat dan laut kepada pekerja warga asing dari Republik China yang sudah mempunyai permit kerja di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu kenyataan hari ini berkata, kebenaran itu dibuat berkuatkuasa serta-merta hari ini.

Bagaimanapun, pekerja asing dari China dikehendaki untuk melakukan ujian calitan Covid-19 di tempat masing-masing dalam tempoh tiga hari sebelum masuk ke Sabah dan disahkan bebas daripada Covid-19.

Katanya, kebenaran ini juga adalah tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), peraturan-peraturan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pihak berwajib yang sedang berkuatkuasa.

Mohd Shafie berkata, kerajaan Sabah juga memutuskan untuk membenarkan pemegang pas-pas yang dikeluarkan oleh JIM dan keluarga mereka yang berada di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Labuan untuk masuk ke Sabah bagi tujuan percutian tanpa perlu menjalani ujian calitan Covid-19 (swab test) dan kuarantin.

Bagaimanapun, mereka perlu mengisi Borang Pengisytiharan Kesihatan dan mematuhi SOP JKNS.

Seiring dengan pembukaan semula pra sekolah hari ini, taksa yang berdaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) juga mula dibenarkan beroperasi.

Namun, ia tertakluk kepada pematuhan SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak berwajib.

Tambahnya, kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan rakyat Sabah sentiasa menjadi keutamaan. – Borneo Today

Leave a Reply