Politik

Kerajaan sekarang akan hancurkan orang Melayu, kata Mahathir

KUALA LUMPUR – Jika Melayu hendak hancur, kerajaan sekaranglah yang akan menghancurkan mereka, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa kerajaan sekarang mewarisi kerajaan kleptokrat sebelum ini.

“Betapa tidak. Kehendak rakyat mudah digugurkan dan kerajaan pemimpin mereka yang mudah mungkir janji, yang utamakan kepentingan diri, yang mudah terpengaruh jawatan dan upah, yang kebanyakan tidak mempunyai kelayakan selain dari menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, kerajaan seperti ini akan rosakkan dan hancurkan negara termasuk orang Melayu,” katanya dalam blognya hari ini.

Hari ini, menurut Mahathir, tokoh-tokoh yang menyokong Muhyiddin sibuk menawar jawatan dan wang untuk menambah sokongan dan siapa yang menolak tawaran mereka akan diugut dan didera.

“Saya ucap syabas kepada mereka yang berani tolak tawaran Muhyiddin dan sanggup digugur dari parti (secara tidak sah) dan kehilangan pelbagai peruntukan untuk kawasan.

“Orang seperti ini sahaja yang boleh selamatkan negara dan orang Melayu. Percayalah mereka yang sanggup menjual diri mereka, mereka yang terima “cash is king”, mereka ini akan hancurkan negara bersama orang Melayu,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply