KOTA BHARU – Seorang pemandu yang positif dadah dibelasah orang ramai, selepas keretanya merempuh tiga pejalan kaki yang berada di atas pembahagi jalan dekat Pasir Hor di sini, pagi tadi.
Kejadian berlaku jam 11.30 pagi itu menyebabkan seorang wanita warga Indonesia berusia 45 tahun, maut di lokasi, manakala dua lagi parah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata sebelum kejadian, pemandu berusia 33 tahun yang memandu kenderaan jenis Proton Satria dari arah Pasir Hor menghala ke Kubang Kerian.
“Apabila sampai di lokasi, kereta itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar ketiga-tiga pejalan kaki yang berada di atas pembahagi jalan dan ingin melintas.
“Akibat perlanggaran itu, seorang wanita warga Indonesia maut serta merta manakala dua lagi wanita warga emas berusia 64 dan 65 tahun parah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Abdul Rahim berkata, dua wanita yang parah itu dikatakan baharu pulang dari kelas mengaji al-Quran dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Katanya, pemandu kereta terbabit yang mengalami luka ringan di lengan dan kaki kiri dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian saringan mendapati lelaki itu positif methampethamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Leave a Reply