Berita Utama

Kes SRC: Mahkamah putuskan Najib bersalah!

Najib Razak didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bekas perdana menteri itu kelihatan tenang semasa hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membacakan keputusan beliau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kata Mohd Nazlan, pihak pembelaan gagal mewujudkan keraguan yang munasabah ke atas kes yang dibawa pasukan pendakwaan.

Disebabkan itu, kata hakim, pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes ke atas Najib melebihi keraguan yang munasabah.

Salah atau bebas, Najib terus jadi perhatian dunia

Mahkamah Tinggi Jalan Duta petang ini sudah kelihatan agak ‘sibuk’ menjelangnya keputusan jatuh hukum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan kes penyewelengan dana SRC International bernilai RM42 juta esok.

Malah awal-awal lagi, pengurusan mahkamah telah mengedarkan pas khas untuk wakil-wakil media tempatan dan antarabangsa bagi membuat liputan keputusan kes berprofil tinggi itu.

MalaysiaGazette difahamkan, keadaan mahkamah esok juga akan dikawal ketat pihak berkuasa dan hanya yang mempunyai pas sahaja akan dibenarkan masuk.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan negara belum pulih sepenuhnya daripada penularan Covid-19.

Selain ia merupakan antara kes berprofil tinggi yang bakal mencatat sejarah dalam institusi kehakiman negara dengan Najib dianggap sebagai perdana menteri pertama dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Najib, 67 yang baharu sahaja menyambut hari kelahiran Khamis lalu bersama segelintir penyokongnya yang tampil meraikan di perkarangan mahkamah pastinya berkongsi debaran esok sama ada Najib akan bebas atau didapati bersalah.

Hari ini solat hajat juga diadakan bukan sahaja penyokong Najib di ibu kota malah seluruh pelusuk di negara ini selain Najib juga tidak putus-putus menerima sokongan moral daripada rakan-rakannya.

Selama lebih dua tahun turun-naik mahkamah, penyokong tegar Najib juga tidak kelihatan berputus asa walaupun diganggu dengan pelbagai peraturan akibat Covid-19.

Walaupun esok merupakan hari penting yang ditunggu-tunggu, namun hari ini Najib yang juga mesra dengan panggilan ‘Bossku’ tetap menghadiri perbicaraan Audit Laporan 1MDB dengan wajah tenang dan ceria.

Beliau juga sempat bergurau dengan para penyokong setianya selain melambai-lambai kepada pengamal media serta orang awam di perkarangan lobi mahkamah.

Najib ketika diarahkan untuk membela diri pada 3 Disember tahun lepas, selama 33 hari telah digunakan olehnya dengan mengemukakan 19 saksi bagi membersihkan namanya dari tujuh tuduhan rasuah serta penggubahan wang haram.

Malah, sejak awal sehingga akhir walaupun ada kalanya kritikan pemimpin Pakatan Harapan mendakwanya dengan pelbagai kesalahan namun Najib konsisten menafikan dirinya tahu menahu tentang wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Ambank antara Disember 2014 dan Februari 2015 itu adalah dari SRC International.

Ahli Parlimen Pekan itu kekal dengan jawapan yang dirinya terkejut sejumlah RM42 juta telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya malah dirinya tidak memulangkan wang tersebut kerana ketika itu siasatan telah dimulakan pihak berwajib.

Pasukan pembelaan juga mengaitkan kes itu dengan penglibatan Low Taek Jho atau Jho Low melakukan pecah amanah serta keraguan Najib terhadap ahli perniagaan yang kini dalam buruan itu.

Pembelaan mengemukakan mengapa perlunya Jho Low serta Ahli Lembaga SRC International di salahkan dalam tuduhan penyewelengan ini.

Najib juga ketika memberikan kenyataan saksi bersumpahnya mendedahkan Jho Low sebenarnya dipilih sebagai penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi menentukan hala tuju Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dalam pembangunan di negeri Terengganu.

Jelas Najib, Jho Low berjaya mempamerkan dirinya sebagai individu amat berpengaruh di negara Asia Barat dan beliau percaya ahli perniagaan itu mampu mempermudahkan urusan pelaburan 1MDB kerana negara Asia Barat mempunyai lebihan wang tunai disebabkan kenaikan harga minyak.

Pada November tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang merupakan lulusan Oxford dengan pengalaman ‘lebih’ dalam perbankan itu telah membuat mengarahkan Najib membela diri atas kesemua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membukti satu kes prima facie terhadapnya.

Ketika itu, kata Mohd Nazlan dalam penghakimannya memutuskan Najib telah menggunakan kedudukan atau kuasanya bagi mendapatkan ganjaran dan menggunakan dana SRC yang beliau mempunyai kepentingan untuk kepentingan peribadi dan manfaat sendiri.

Mohd Nazlan juga didakwa tidak pernah menjadi hakim bagi kes-kes jenayah di mahkamah tinggi sebelum ini sebaliknya lebih kepada mahkamah komersil.

Hakim Mohd Nazlan juga ada mengendalikan kes rasuah Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, juga kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kes rasuah Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan juga kes rasuah membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pendakwaan kes SRC diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, Datuk V. Sithambaram manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula mengetuai pasukan pembelaan.

Perbicaraan SRC International telah bermula pada 3 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama.

Pasukan pendakwaan juga telah mengemukakan lebih 750 eksibit termasuk dokumen bank berkaitan akaun bank Najib, dokumen transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan menerusi Blackberry Messenger berhubung transaksi bekas perdana menteri itu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan Najib berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram pula memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun.

Apapun, keputusan esok pastinya akan membawa impak serta sejarah bukan sahaja kepada Malaysia sebaliknya seluruh dunia. –MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply