Hiburan

Kesihatan makin merosot, M. Daud Kilau rayu bantuan ramai untuk beli ubat

BAGAN DATUK – Kesihatan semakin merosot ditambah pendapatan terjejas selepas empat tahun tidak dapat membuat persembahan pentas.

Demikian nasib menimpa penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau ketika merayu bantuan pelbagai pihak dengan wang simpanannya banyak dihabiskan membeli ubat.

Menurut seniman berusia 83 tahun itu, kesihatannya semakin merosot sejak beberapa tahun lalu kerana menghidap kencing manis, sakit pinggang dan jantung tidak stabil.

“Saya sudah lama tak buat persembahan. Kalau dah tak menyanyi lagi, tak adalah duit. Sudah empat tahun saya tak naik pentas, risau juga rasanya. Setakat ini saya tidak menerima apa-apa sumbangan bulanan daripada mana-mana pihak.

“Saya merayu pihak berkenaan agar dapat menolong saya, datanglah lihat keadaan saya,” katanya ketika ditemui di Sungai Balai Baru di sini semalam.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Cek Mek Molek dan Gila Judi itu, oleh kerana masalah kesihatan yang dihadapai, beliau lebih banyak berbaring sahaja di rumah.

Kata M. Daud Kilau, beliau terharu kerana ramai yang masih mengingati apabila kediamannya di sini kerap menerima kunjungan peminat.

“Ramai juga yang datang melihat saya, peminat saya tak tinggalkan saya. Saya rindukan peminat, sudah lama saya tak memakai baju labuci,” katanya.

Sementara itu, M. Daud Kilau menyatakan hasratnya untuk melihat penyanyi baharu yang dapat menjadi penggantinya terutama yang meminati lagu-lagu Melayu asli.

“Sama seperti lagu-lagu Melayu, jika tidak dihidupkan, nanti akan hilang begitu saja namun saya gembira kerana lagu-lagu saya seperti Cek Mek Molek tak hilang, masih kedengaran di stesen radio,” katanya.

Keadaan kesihatan penyanyi veteran itu mula merosot selepas mengalami komplikasi membuang air kecil pada 2016 dan menerima rawatan susulan antara dua atau tiga minggu sekali sama ada di klinik atau hospital.

Ekoran masalah itu, M. Daud Kilau mengambil keputusan melupakan kerjayanya sebagai penghibur. -UTUSAN

Loading...

Leave a Reply