Politik

‘Kesilapan besar politik Malaysia ialah terlalu harapkan Mahathir’ – Nik Abduh

GUA MUSANG – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengurangkan drama politik ketika rakyat dan negara sedang berdepan ancaman pandemik COVID-19.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz berkata, bagi menghentikan drama itu, Dr Mahathir disaran terus berehat dan tidak mendengar hasutan orang sekeliling yang hanya boleh merosakkan imej dirinya.

Nik Abduh yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) berkata, ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 ini, semua pihak terutama ahli politik tidak perlu terlalu obses dengan usaha untuk menukar kerajaan.

Katanya, apa yang membimbangkan ialah, situasi itu turut menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Politik ni panjang, ada masanya kita boleh redakan dan sampai masanya kita bolehlah panaskan balik.

“Jadi pada pandangan saya, tindakan Tun Dr Mahathir ini sebagai mana saya sebut sebelum ini, sebelum dan selepas pilihan raya, saya masih lagi melihat bahawa kesilapan besar yang berlaku dalam politik negara kita ialah ahli politik terlalu mengharapkan Tun Dr Mahathir supaya memimpin kembali negara.

“Saya yakin bahawa sebagai orang yang telah berpengalaman, peranan Tun Dr Mahathir adalah menasihat. Itu orang tua, orang lama dia bukan ditugaskan untuk memimpin. Orang tua tugasnya menjadi penasihat,” kata Nik Abduh.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Kesedar, di sini pada Ahad.

Sebelum itu, beliau yang baru dilantik sebagai Pengerusi Kesedar telah mengadakan perjumpaan dengan pengurusan tertinggi agensi kerajaan pusat itu.

Loading...

Leave a Reply