KUALA TERENGGANU: Kem ragbi Terengganu kehilangan permata selepas ketua jurulatihnya, Izaimi Zainuddin, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), petang ini.
Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT), Amir Amri Muhammad berkata, jurulatih kelahiran Negeri Sembilan itu menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman susulan pembedahan kerongkong di hospital berkenaan, Rabu lalu.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara, Selangor awal pagi esok.
“Allahyarham Izaimi dimasukkan ke HKL pada Isnin lalu untuk menjalani pembedahan kerongkong pada Rabu. “Pada jam 4.45 petang hari ini, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL.
“Kematian Allahyarham satu kehilangan besar khususnya buat pasukan ragbi Terengganu kerana arwah banyak menyumbang tenaga, idea dalam membangunkan sukan itu.
“Allahyarham juga seorang jurulatih yang disegani selain sudah banyak membantu kejayaan pasukan negeri sehingga bergelar antara salah satu kuasa ragbi dalam negara,” jelas Amir Amri ketika dihubungi hari ini.
Allahyarham Izaimi, 48, yang juga seorang guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu adalah watak penting membawa Terengganu menjulang Piala Agong pada 2019 selepas mengalahkan Sabah pada perlawanan akhir.
Malah, Allahyarham melatih skuad Sukan Malaysia (SUKMA) dan jurulatih Piala Agong Terengganu sejak 2017 hingga kini, selain pernah membimbing pasukan Bawah 17 (B17) dan B15 negara pada 2011 dan 2016.
Allahyarham juga pernah membimbing skuad negara tujuh sebelah B20 pada 2017 dan B19 negara 15 sebelah pada 2016 hingga 2017.
Leave a Reply