Blog Berita Online

Berita Utama

Ketua Macau Scam peruntuk RM4 juta sebulan sogok pihak berkuasa

KUALA LUMPUR: Sekitar RM2 juta hingga RM4 juta sebulan diperuntukan untuk ‘dibelanjakan’ kepada pelbagai pihak termasuk polis dan orang berpengaruh bagi melindungi jenayah Macau Scam dan judi dalam talian.

Mengejutkan namun itu disyaki dilakukan Goh Leong Yeong, 32, atau popular dipanggil Alvin yang menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ palsu bagi `menghidupkan’ aktiviti jenayahnya di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, wang hasil penipuan Macau Scam dan judi dalam talian terpaksa diagihkan bagi menutup mulut pihak-pihak berpontensi membocorkan jenayah yang dilakukan lima tahun lalu.

Kata sumber, siasatan mendapati kira-kira 50 hingga 100 individu dipercayai menerima wang daripada Alvin yang kini menjadi buruan polis selepas melarikan diri dari kawasan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 11 Oktober lalu.

“Ini termasuk orang berpengaruh, pegawai dan anggota polis yang telah ditahan atau disiasat SPRM.

“Wang itu ‘dibayar’ bagi melindungi jenayah Macau Scam dan judi dalam talian selain memberi maklumat jika ada serbuan dilakukan pihak berkuasa,” katanya di sini semalam.

Kata sumber, pihaknya masih menyiasat rantaian dan jenayah dilakukan Alvin dan ketua-ketua sindiket lain yang masih aktif menipu rakyat Malaysia.

Kelmarin, polis mendedahkan gambar dan maklumat mengenai Alvin yang beralamat terakhir di Blok 25b2-5-8, Miharja Condo, Batu 2 1/2 Off Jalan Cheras yang kini menjadi buruan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki itu dikehendaki polis bersabit siasatan tiga kes mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sebelum itu, SPRM membongkar kegiatan Macau Scam dan judi dalam talian susulan penahanan lima individu termasuk Alvin dan seorang individu lain yang bergelar ‘Datuk’.

Individu terbabit disyaki memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal memulakan perniagaan sebagai modus operandi mencuci duit haram hasil jenayah mereka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki mendedahkan, pihaknya menahan 20 individu termasuk lapan pegawai polis dan seorang warga China, selain membuat beberapa siri tangkapan lain.

Dalam tempoh itu, SPRM membekukan kira-kira RM101 juta daripada 736 akaun bank dan menyita wang tunai RM5 juta.

Selain itu, suruhanjaya berkenaan merampas 23 kenderaan mewah pelbagai jenama serta motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai dibeli hasil daripada aktiviti judi dalam talian tempatan. – UTUSAN

Leave a Reply