Berita Utama

Khalid gesa Ahli Parlimen tolak Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Belanjawan 2021 perlu ditolak kerana dakwa beliau kerajaan Perikatan Nasional telah mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong dengan tidak menghasilkan bajet yang boleh disokong semua.

Dalam ciapan di laman Twitter, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu juga mendakwa tema prihatin dan inklusif yang sering dilaungkan Perikatan Nasional hanyalah prihatin terhadap kepentingna politik mereka.

Khalid merujuk kepada ciapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali iaitu: “Alhamdulillah julung kalinya Kerajaan Perikatan Nasional membentangkan Belanjawan 2021; yang prihatin, inklusif dan bertanggungjawab.”

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah turut mendakwa belanjawan yang dibentangkan memecah-belahkan kaum dan tidak bertanggungjawab.

“Lawak betul orang ni. Prihatin terhadap kepentingan politik mereka jer kut? Inklusif? Hahaha… pecah belah antara kaum adalah. Bertanggung jawab jauh sekali!

“Bajet ini perlu ditolak. Kerajaan PN telah ingkar titah Agong kerana tidak menghasilkan bajet yang boleh disokong semua,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 dengan tema Teguh Kita, Menang Bersama di Dewan Rakyat.

Pra-pembentangan Belanjawan yang ditunggu-tunggu itu menyaksikan kerajaan Perikatan Nasional mengadakan konsultasi dengan pelbagai pihak termasuk pembangkang yang diwakili Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Saifuddin Nasution. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!