Berita Utama

KKM pertimbang pesakit Covid-19 jalani kuarantin di rumah

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbangkan langkah kuarantin di rumah bagi pesakit yang didapati positif, namun tidak bergejala terutama di Sabah jika fasiliti kesihatan di negeri itu tidak mampu menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah katil yang disediakan di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah di Sabah setakat ini masih mencukupi.

Katanya, langkah kuarantin di rumah perlu melihat kepada kesesuaian di rumah pesakit termasuk faktor ruang.

“Kita hanya pertimbangkan kalau perlu tapi setakat ini, tidak perlu lagi.

“Jika pusat rawatan risiko rendah tidak mencukupi, kita akan guna pakai konsep ini,” katanya pada sidang media mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai kemampuan fasiliti kesihatan di Sabah untuk menampung jumlah COVID-19 yang semakin meningkat.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, setakat ini, Sabah tidak berdepan masalah peralatan perubatan, manakala dari segi penggunaan katil, sebanyak 70 peratus daripada 1,123 katil kini digunakan pesakit COVID-19 di hospital dan 30 peratus daripada 4,730 katil digunakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah.

“Jika kita lihat, walaupun jumlah kes meningkat namun jumlah pesakit yang discaj juga meningkat. Jadi kita imbangi dari segi keperluan katil, ia sekali gus membolehkan kita mampu menampung kes yang meningkat.

“Selain itu, kita juga membenarkan Jabatan Kesihatan Sabah membuat perolehan secara darurat jika ada keperluan peralatan tambahan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply