Blog Berita Online

Berita Utama

KPN tuntut hukuman maksimum ke atas pemandu mabuk

SERDANG – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador, menuntut hukuman maksimum terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan nahas mengorbankan seorang anggota polis di sekatan jalan raya Op COVID-19 dekat Plaza Tol Kajang Selatan, awal pagi tadi.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kemalangan itu berpunca daripada tindakan pemandu terbabit yang cuai dan dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap pemandu berkenaan. Saya berharap, dia akan dikenakan hukuman maksimum atas perbuatannya sebagai pengajaran supaya tidak berulang lagi.

“Ada segelintir individu yang tidak menghiraukan langsung keselamatan pengguna dan petugas di jalan raya. Harus diketahui bahawa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua pergerakan dihadkan.

“Namun, ada lagi yang sempat mengambil minuman keras dan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan maut. Itu adalah jelas satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meluangkan masa kira-kira sejam untuk menziarahi jenazah Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail, di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang di sini.

Koperal Safwan, 31, terkorban selepas sebuah pacuan empat roda merempuh sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pada jam 2.11 pagi ini.

Abdul Hamid menyifatkan nahas yang mengorbankan anggota polis terbabit sebagai yang amat memilukan.

Katanya, beliau difahamkan yang arwah adalah seorang yang cukup baik dan tergolong dalam kalangan anggota polis yang berprestasi tinggi.

“Saya difahamkan arwah mempunyai sembilan adik beradik adalah seorang pendiam. Malah, ada di antara ahli keluarga arwah iaitu bapanya juga bekas komander di S69 di Ulu Kinta, Perak dan sudah tiga tahun bersara.

“Kejadian yang berlaku ketika bulan Ramadan ini amat memilukan hati. Saya rasa sedih apabila pada awal pagi tadi dikejutkan dengan berita berlaku kemalangan ini yang tidak sepatutnya berlaku dan anggap ini sebagai takdir,” katanya.

1 Comment

  1. Azmi bin Abdullah

    Ini yang peliknya, sedangkan rakyat lain berkurung dirumah sebab PKP dia senang senang keluar minum sehingga mabuk dan membunuh pertugas di barisan hadapan.
    Mohon PDRM siasat, pasti ada kumpulan lain yang bersamanya.
    Pemandu yang mabuk dan menyebabkan orang lain hilang nyawa patut digantung sampai mati sebab perbuatannya memang disengajakan iaitu pergi minum sampai mabuk. Kerana hukuman yang ringan itulah menyebabkan pemandu mabuk buat tak kisah

Leave a Reply