Blog Berita Online

Berita Utama

Lagi kes bendera terbalik di Johor, pengusaha kedai makan akan didakwa

JOHOR BAHRU – Seorang pemilik kedai makan berusia 55 tahun, ditahan polis selepas premisnya didapati memasang Jalur Gemilang secara terbalik dalam kejadian di Kluang.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay, berkata siasatan mendapati kedai makan terbabit sudah dua tahun mengibarkan bendera Malaysia itu secara terbalik.

Katanya, siasatan terhadap pemilik premis yang juga seorang wanita dibuat selepas mendapat aduan awam.

“Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bergegas ke premis terbabit yang terletak di Jalan Lee Ah Leng, Taman Nasib, Kluang selepas menerima laporan perbuatan itu pada Ahad lalu.

“Pemilik itu ditahan dipremisnya. Siasatan awal mendapati premis itu beroperasi sejak 2017 hingga Disember 2019. Bagaimanapun sejak Januari lalu premis ini tidak lagi beroperasi.

“Sekarang bila kita sudah beri kesedaran dan masyarakat lebih peka untuk membuat laporan sekiranya nampak bendera terbalik. Kita akan ambil tindakan, Akta yang dikenakan ini lebih berat. Pasang bendera berhati-hati, tiada alasan tidak faham atau terlupa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Ayub Khan berkata, sehelai bendera yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.

“Keterangan suspek sudah diambil dan akan didakwa mengikut Seksyen 5, Akta Lambang dan Nama (Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2017.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Leave a Reply