Berita Utama

Lagi wanita ditahan pakai gelang pink Covid-19 ke pasar pagi

GEORGE TOWN – Suasana di pekarangan pasar Sri Aman, Relau di sini pagi tadi kecoh dengan kehadiran seorang wanita Melayu yang memakai gelang merah jambu Covid-19 memasuki ke kawasan itu pagi tadi.

Kelibat wanita bertudung dan memakai baju lengan panjang berwarna hitam itu dipercayai disedari anggota pasukan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut yang bertugas menjalankan pemeriksaan pematuhan prosidur operasi standard (SOP) Covid-19 di pasar berkenaan.

Tindakan pantas anggota terbabit dikatakan berjaya menghalang wanita yang datang seorang diri itu daripada memasuki ke kawasan perniagaan tersebut.

Difahamkan, wanita tersebut juga kini dalam tempoh kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama dua minggu membabitkan kes Kluster Bayan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi mengesahkan laporan berhubung kehadiran wanita terbabit di Pasar Sri Aman di Relau.

“Ya, kita ada menerima laporan berkenaan oleh pegawai KKM yang dibuat di Balai Polis Sungai Nibong kira-kira pukul 11.36 pagi tadi.

“Mereka akan mengambil tindakan berhubung perkara tersebut,” katanya ringkas di sini tadi. – K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!