Politik

Lantik ahli politik isi jawatan bertaraf menteri membazir – Tun Mahathir

LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan kerajaan melantik ahli politik bagi mengisi jawatan bertaraf menteri adalah sebagai satu ‘pembaziran’ dan perlu dihentikan ketika ini.

Ini kerana menurutnya, peruntukan yang dibayar kepada individu berkenaan sewajarnya digunakan kerajaan bagi membantu rakyat yang berada dalam tempoh sukar tatkala berhadapan dengan situasi penularan wabak COVID-19.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) turut tidak bersetuju dengan penglibatan ahli politik dalam badan-badan kerajaan memandangkan ianya hanya memberi manfaat besar kepada individu tertentu sahaja.

Sehubungan itu, adalah menjadi satu kewajipan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meletakkan masalah yang dihadapi rakyat sebagai perkara utama yang perlu diselesaikan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang berjalan ketika ini.

“Yang mana (perkara atau pelantikan politik) boleh tangguh, kita tangguh, yang kita perlu dahulukan adalah masalah nasib rakyat, itu yang penting, pasal mereka takut dijangkiti penyakit, ada ramai yang mati, ramai yang tak tahan dengan lockdown.

“Kerajaan mesti tolong mereka, kalau duit itu (nak dibayar kepada perkara yang) benar-benar tak penting, kita (perlu) ketepikan, macam nak bagi jawatan bertaraf menteri, itu semua tak penting tapi (kerajaan) ada (pula) duit untuk itu, ada macam-macam duit untuk benda-benda political tetapi berkenaan masalah rakyat tak diberi perhatian,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, Kuah bagi program #PulangKeLangkawi pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan bahawa tidak pernah menerima tawaran rasmi daripada mana-mana pihak termasuk Ismail Sabri bagi mengisi jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Langkawi itu mengesahkan, wujud perbincangan membabitkannya bersama Perdana Menteri berkaitan perkara terbabit sebelum ini.

Pada Khamis, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan harapan agar Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah diperkenalkannya sebelum ini dapat dijalankan dengan cepat.

Menurutnya,proses pemulihan itu juga tidak boleh lagi ditangguh memandangkan kerajaan telah menanggung kos yang terlalu mahal dalam tempoh setahun yang lalu susulan pandemik COVID-19.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!