Blog Berita Online

Berita Utama

Laporan Al Jazeera, Dr Noor Hisham pertahan penahanan warga asing

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mempertahankan penahanan warga asing tanpa dokumen di tengah-tengah wabak Covid-19.

Ia selepas pihak berkuasa membidas laporan Al Jazeera berhubung penahanan warga asing ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Memberi respons berkenaan perkara itu di Twitter, Noor Hisham menegaskan warga asing tanpa dokumen perlu ditahan.

“Kita tidak pernah mengalu-alukan warga asing tanpa izin ke negara kita,” katanya.

Menjawab ciapan seorang pengguna Twitter yang menyuarakan kekecewaan berhubung keadaan dalam tahanan, yang menyebabkan warga asing terdedah kepada jangkitan Covid-19, beliau berkata:

“Sejumlah yang anda rujuk itu ialah warga asing tanpa dokumen.

“Pastinya lebih baik berbanding jika mereka berada dalam komuniti,” katanya.

Ia menunjukkan sentimen yang sama dengan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini mempertahankan langkah menahan warga asing di pusat tahanan Imigresen yang sesak, memandangkan mereka masuk ke negara tanpa izin.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut mengulang semula gesaannya berhubung pengawalan sempadan negara dan agar majikan memastikan tempat tinggal pekerja bersih dan membolehkan amalan penjarakan sosial.

“Dalam pendekatan pencegahan dan kawalan penularan Covid-19, kita perlu meningkatkan dan mengetatkan kawalan sempadan.

“Virus tidak membeza-bezakan antara pengembara berdokumen atau tanpa dokumen.

“Semua ketibaan termasuk warga Malaysia yang pulang perlu menjalani ujian dan dikuarantin,” katanya lagi.

Leave a Reply