SHAH ALAM: Tular dalam media sosial satu kejadian melibatkan seorang lelaki dipercayai meninggal dunia selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika sedang bersarapan dekat sebuah restoran di Bukit Sentosa, Rawang pagi tadi.
Menerusi gambar yang turut tersebar dalam aplikasi mesej Whatsapp itu, lelaki berkenaan didakwa baru sahaja mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 sebelum rebah dipercayai akibat sakit jantung.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik itu juga, ambulans dan polis tidak lama kemudian tiba di tempat kejadian.
Bagaimanapun, Utusan Malaysia masih menunggu makluman daripada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk pengesahan.
Sementara itu, isteri mangsa Rabunah Abdu Rashid, 49, memaklumkan suaminya menghidap penyakit jantung serta darah tinggi sejak lima tahun lalu dan menjalani pemeriksaan perubatan setiap bulan di Hospital Selayang.
“Suami memang baru sahaja mengambil dos penggalak pada 12 Januari lalu, namun dia tidak mengeluh atau menunjukkan mengalami sebarang simptom serius kecuali lenguh pada bahagian tangan.
“Apabila saya dimaklumkan oleh pihak polis mengenai dakwaan itu, saya amat terkejut kerana saya tidak pernah menyatakan dalam laporan kematian suami ada kaitan dengan dos penggalak,” katanya.
Dia meminta orang ramai supaya menghentikan menyebarkan berita palsu berkenaan kerana pengambilan dos penggalak bukan penyebab kematian suaminya.
“Saya minta mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu ini supaya berhenti berbuat demikian. Saya dan keluarga termasuk tiga anak berusia antara 13 hingga 20 tahun reda dengan pemergian suami,” katanya.
Leave a Reply