Berita Utama

Lelaki hadapi 64 pertuduhan berkaitan rogol dan seks luar tabii

SEREMBAN – Seorang bekas kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas 64 pertuduhan berkaitan kesalahan merogol, melakukan seks luar tabii, mengurung, mencederakan, ugut dan menyimpan video serta gambar lucah mangsa antara Mei dan Jun lalu.

Tertuduh, Mohd Tahir Ayub, 57, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Dia menghadapi 11 pertuduhan merogol mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan membabitkan mangsa seorang wanita berusia 37 tahun antara 4 Jun 2020 hingga 14 Jun 2020.

Tertuduh juga berdepan 48 tuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama antara 29 Mei 2020 hingga 18 Jun 2020.

Selain itu tertuduh juga didakwa melakukan pemerasan dan mendatangkan ketakutan terhadap mangsa dengan mahu menyebarkan video dan gambar bogelnya sehingga mendorong mangsa menyerahkan harta sebanyak RM3,000 pada 9 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Tertuduh pada 3 Jun 2020 juga dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan mengigit dada, tangan, kaki dan seluruh badan.

Dia juga menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 344 Kanun Keseksaan kerana mengurung mangsa selama 12 hari iaitu pada 28 Mei 2020 hingga 8 Jun 2020.

Tertuduh juga didakwa menakutkan secara jenayah terhadap mangsa dengan ugutan hendak menyebabkan kematian dan kebinasaan hartanya pada 1 Jun 2020 mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Semua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Haji Sulaiman, Pancang di Rembau Negeri Sembilan.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Muhamad Imran Mohamad Farok turut berdepan dakwaan mengikut Seksyen 292 (A) Kanun Keseksaan kerana didapati memiliki video dan gambar lucah mangsa di dalam kad memori telefon bimbitnya.

Muhamad Imran merayu agar mahkamah memberikan jaminan yang rendah terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh baharu kehilangan kerja.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM306,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 26 Ogos ini bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Atiqah Sapari-Tamat.

Loading...

Leave a Reply