Berita Utama

Lelaki ke Balai Polis Sentul disahkan bukan pesakit Covid-19

LELAKI warga emas yang hadir di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur dan dikatakan memakai gelang kuarantin untuk membuat laporan polis, hari ini, bukan pesakit Covid-19.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, lelaki berkenaan yang berusia 81 tahun adalah pesakit biasa yang pernah dimasukkan dan dirawat di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Lelaki itu datang ke Balai Polis Sentul untuk membuat laporan pada 10.20 pagi. Ketika itu, hanya lelaki berkenaan berada di tempat duduk berhampiran kaunter pertanyaan selain anggota polis bertugas.

“Pemerhatian anggota bertugas di bahagian kaunter pertanyaan mendapati lelaki itu menunjukkan simptom Covid-19 kerana sesak nafas dan batuk selain dipercayai baru keluar dari hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, pihaknya memaklumkan kepada pihak HKL sebelum ambulans hospital itu membawa lelaki terbabit untuk membuat pemeriksaan pada 11 pagi.

“Atas saranan petugas kesihatan, kami mengambil inisiatif untuk menutup Balai Polis Sentul sementara menunggu keputusan daripada pihak HKL.

“Malah, proses sanitasi turut dilakukan di sekitar Balai Polis Sentul sejurus itu dan semua petugas tidak dibenarkan keluar dari lokasi sehingga dimaklumkan pihak HKL,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan oleh HKL bahawa lelaki itu bukan pesakit Covid-19, tetapi pesakit biasa yang pernah dimasukkan dan dirawat di wad HKL.

Menurutnya, sehubungan itu, Balai Polis Sentul akan beroperasi seperti biasa bermula 4 petang hari ini selepas proses sanitasi kedua.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan hanya kawasan berhampiran kaunter pertanyaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul ditutup dan bukannya keseluruhan balai berkenaan.

Sebelum ini, satu status tular di media sosial mengenai notis ditampal di hadapan pagar IPD Sentul mengenai penutupan balai berkenaan.

Menurut notis itu, balai polis terbabit akan ditutup sementara waktu sehingga satu masa yang akan diumumkan nanti.

Loading...

Leave a Reply