PONTIAN – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas dan melanggar tiang lampu berhampiran sebuah stesen minyak di Kayu Ara Pasing, Jalan Pontian-Benut di sini pada Khamis.
Komander Operasi dari Balai Boma dan Penyelamat (BBP) Pontian, Pegawai Bomba Kanan II Julia Sani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada jam 2.41 pagi.
Susulan itu seramai tujuh anggota dibantu sebuah jentera Fires Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kejadian melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RS dan mangsa, Zairul Shahrizal Sulaiman, 35, telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 6.17 pagi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, isteri mangsa yang dikenali sebagai Norlaila Suriman, 28, telah berkongsi beberapa nota yang ditulis mangsa kira-kira sejam sebelum keluar rumah seoalah-olah sebagai petanda suaminya pergi buat selama-lamanya.
“Papa sayang mama dan anak-anak sampai mati,” tulis mangsa di dalam buku nota kecil yang ditemui di dalam beg sandang digunakannya.
Ibu kepada tiga anak, Adam Rayan, 8, tahun, Dainel Haider, 4 tahun dan Zafrel Ayben berusia 10 bulan berkata, ketika kejadian suami dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura.
“Suami baru sebulan berkerja di sebuah syarikat pembuatan simen di republik itu.
“Saya amat terharu apabila membaca luahan hati suami di dalam buku kecil berkenaan. Namun, saya reda dengan pemergian suami,” katanya
Leave a Reply