KUALA LANGAT: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori kontena di Kilometer 41.5 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala Pulau Indah, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu jam 1.41 petang dan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Panglima Garang dikejarkan ke lokasi.
“Kemalangan membabitkan dua kenderaan dengan pemandu MPV jenis Honda Stream tersepit di tempat duduk. Dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
“Pemandu lori kontena pula dilaporkan cedera parah pada kepala dan dibawa ke hospital,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Hafisham berkata, bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.
“Mangsa yang maut dikenali sebagai Hafizul Ashraf Sairan, 30 dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Leave a Reply