Berita Utama

Lelaki pasang kamera tersembunyi dalam tandas wanita

KUALA LUMPUR – Polis Daerah Gombak menahan seorang lelaki yang juga pekerja di sebuah kilang di Taman Perindustrian Batu Caves, di sini, selepas disyaki meletakkan kamera tersembunyi berbentuk pen dalam tandas wanita.

Suspek berusia 41 tahun itu dipercayai meletakkan kamera di bawah sinki dalam tandas wanita di kilang tempat dia bekerja bagi tujuan rakaman video sejak awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kejadian itu disedari seorang wanita berusia 27 tahun yang bekerja di kilang sama selepas ternampak kamera tersembunyi berbentuk pen berwarna hitam di bawah sinki dalam tandas.

“Wanita terbabit kemudian mengambil kamera berkenaan dan membawa pulang ke rumah untuk memeriksa sebelum mendapati terdapat beberapa rakaman video jelas ternampak kemaluan dan mukanya serta beberapa rakan sekerjanya yang lain.

“Dia mengesyaki pen itu adalah milik seorang pekerja yang dikenali kerana terdapat paparan mukanya di dalam video itu yang sedang meletak dan mengambil kamera itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wanita itu kemudian memaklumkan kejadian kepada majikannya untuk tindakan lanjut sebelum membuat laporan polis.

“Suspek kemudian ditahan pada 26 Mac lalu pada jam 11 pagi di kilang berkenaan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah polis turut merampas pen berkenaan serta satu keping kad memori.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!