Seorang pembantu kedai makan yang sedang menguruskan proses pengebumian rakannya, di Tanah Perkuburan Selat Klang, petang semalam, rebah sebelum disahkan meninggal dunia.
Dalam kejadian jam 4.50 petang, Amran Hassan, 48, sedang memegang tali bagi membantu mengangkat keranda jenazah rakannya, Raja Azri Raja Mansor, ke liang lahad.
Saksi tempat kejadian, Megat Yunos Megat Haris, berkata sejurus keranda diletakkan, Amran dilihat terjatuh dan tersembam ke tanah berhampiran kubur.
“Melihat keadaan itu, jemaah lain yang ada di situ turut memberikan bantuan namun Amran tidak sedar dan kami segera menghubungi ambulans.
“Arwah mungkin mengalami serangan jantung ketika sedang membantu menguruskan pengebumian Raja Azri,” katanya.
Megat Yunos berkata, ambulans tiba di lokasi kejadian kira-kira 40 minit selepas Amran rebah.
Ketika menunggu bantuan kecemasan tiba, jemaah yang ada di kawasan perkuburan itu turut memberi bantuan kecemasan.
Difahamkan, Amran disahkan meninggal dunia akibat masalah jantung pada jam 6.04 petang oleh kakitangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Leave a Reply