Blog Berita Online

Berita Utama

Lelaki rentung selepas terperangkap dalam kereta terbakar

SEORANG mekanik ditemukan rentung dalam Perodua Alza miliknya yang terbakar di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Wakaf Beruas, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 malam itu, mangsa, Mohd. Azizi Jaafar, 37, dari Kampung Wakaf Mempelam melecur hampir 90 peratus di anggota badannya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Md. Hilman Abd. Rashid berkata, kebakaran dipercayai berlaku ketika mangsa memandu di laluan berkenaan sebelum menghentikan kenderaannya di tepi jalan.

Bagaimanapun, katanya, cubaan mangsa untuk menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap gagal berikutan api yang merebak cepat.

“Siasatan awal menemukan tiga tangki gas untuk kerja kimpalan dan satu tangki oksigen di tempat duduk belakang kenderaan mangsa.

“Api turut merebak ke Perodua Viva yang diparkir di tepi jalan itu hingga hangus 60 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Mohd. Hilman berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply